Thursday 11 July 2013

ROTI PURI

RESEPI MASAKAN INDIA: PURI
Dari blog: mamak haji
Resepi ini paling ringkas dan menggunakan bahan masakan yang kosnya paling minima. Untuk peniaga ia memberi keuntungan yang tinggi. Sesiapa yang berminat meniaga di Bazar Ramadhan nanti boleh tambahkan sebagai menu tambahan atau sampingan dalam perniagaan Bazar ramdhan. Jangan lupa cuba dari sekarang mendapatkan resepi yang tepat untuk perniagaan.
Bahan-Bahan yang diperlukan:
  • 2 cawan (cup) tepung gandum.
  • 2 sudu besar (tbsp) minyak masak.
  • 1/4 sudu kecil (tsp) garam.
  • 1 sudu kecil susu tepung (sekiranya anda ingin puri lembut dan berlemak).
  • 1/2 sudu kecil (tsp) gula.
  • Air suam Masukkan secukup untuk membuat doh.
CARA-CARA MEMBUAT DOH:
1.  Masukkan tepung gandum, tepung susu, garam dan gula dalam sebuah bekas. Adunkan semua bahan-bahan ini supaya rata.
2. Masukan sedikit demi sedikit air suam dan uli tepung. Uli tepung sehingga anda mendapat doh seperti doh capati.
3. Biarkan keseluruhan doh tersebut di selimuti kain yang lembab selama 20 minit.
4. Bahagi-bahagikan doh itu beberapa bentuk bebola sama saiz yang berukuran sebiji buah lemon. (saiznya separuh dari saiz bebola roti canai atau capati. Titiskan beberapa   titis minyak masak atas papan peleper (supaya tidak melekat) dan leperkan bentuk bulat bulat yang tebalnya sama ketebalan roti capati. Sekiranya anda tidak mempunyai papan dan kayu peleper (roller), anda boleh uli di atas keratas plastik dengan menggunakan botol bulat yang berbalut dengan plastik. Kalau mampu, dapatkan sebuah set peleper doh tepung yang sangat berguna di dapur anda.
5. Panaskan minyak dalam kuali dan mula goreng puri.Untuk gorengan yang terbaik sila baca tip-tip yang mamak haji berikan.
TIP-TIP UNTUK MENYEDIAKAN PURI YANG TERBAIK:
PURI YANG SEDIA UNTUK GORENG.
Sebelum anda mula membuat puri, sila baca tip-tip mamak haji:
  1. Doh tepung puri yang telah diuli perlu diperam selama 20 minit disalut dengan kain lembab sebelum dikepingkan.
  2. Bila membuat kepingan puri jangan ditindeh satu sama lain. Gorengan puri perlu lakukan satu persatu. Meleperkan puri, gunakan sedikit minyak di atas permukaan papan peleper dari menggunakan tepung untuk mengelakan melekit dipemukaannya.
  3. Ini rahsia membuat puri yang lembut dan mengekalkan gelembung dalam keadaan panas dan sejuk. Semasa mengadunkan tepung gandum tambahkan 1 sudu besar tepung suji bersama dengan tepung gandum. Tepung suji kemampunan mengekalkan gelembung puri .
  4. Minyak gorengan puri perlu panas yang cukupsemasa gorengan. Minyak yang kurang panas akan menyerapkan minyak berlebihan dalam puri. Biasanya minyak panas perlu berada 375 F – 400F. Paras minyak dalam kuali perlu berada 3 inci untuk  puri mudah terapong.
  5. Selepas masukkan puri yang perlu digoreng, beri sedikit tekanan dengan sudip ke atas gelembung pertama yang dihasilkan, supaya gelumbung keseluruhan di perolehi dengan baik. Puri yang baik adalah lembut, begelumbung sempurna dan ringan.
RESEPI ALU GOBI: PENCICAH PURI
Bahan-Bahan:
  • Rebus 5-7   biji ubi kentang sederhana besar, rebus sehingga empuk. Buang air rebusan dan kopek kulit kentang. Potong dadu. Asingkan.
  • 1 biji bawang besar dihiris halus.
  • 2 biji cili hijau dihiris.
  • 2 biji tomato dipotong dadu.
  • 1 sudu kecil (tsp) biji jintan putih.
  • 2 sudu kecil (tsp) serbuk kunyit.
  • 1 sudu besar (tbsp) serbuk cili.
  • 2 sudu kecil (tsp) serbuk garam masala.
  • 1 sudu kecil (tsp) garam.
  • 3 sudu besar minyak masak.
  • 1 pokok ketumbar. Asingkan batang dan daun. Batang dan daun dihiris halus.
  • 1 sudu besar (tbsp) pes halia bawang putih.
  • 1 cawan kacang campur (frozen) sejuk beku. Direndam dalam air. Ditoskan.
CARA MASAK:
1.         Panaskan kuali dan masukan minyak. Bila minyak panas masukan biji jintan putih dan bawang hiris. Bila warna bawang mula bertukar wanrna keperangan, masukkan batang ketumbar.  Sekiranya anda tidak menyukai bau ketumbar boleh gunakan batang dan daun pokok daun sup.

2.         Masukkan segera serbuk kunyit, serbuk cili dan garam.

3.         Masukkan pes halia bawang putih, dan sebatikan semua rempah menjadikan pes.

4.         Masukkan kacang campur dan gaul rata. Bila bau harum mula dikeluarkan masukkan  ubi kentang rebus dan sebatikan dengan perencah. Masukkan cili hijau an garam masala.  Masukkan tomato dan gaul rata. Masak dalam 2-3 minit saja. Aloo Gobi anda sudah siap.

5.         Tutup api dapur dan hidangkan dengan taburkan daun ketumbar yang telah sediakan. Jamulah dengan puri bersama dengan aloo gobi anda. Sekiranya anda tidak menyukai hidangan asli ini anda boleh juga jamu puri anda dengan sambal tumis ikan bils atau pun daging cincang.


No comments:

Post a Comment

Kalau suka resepi masakan atau resepi rohani dalam blog Resepi Warisan Bonda ni, jangan lupa LIKE dan SHARE. Kalau tak faham sila komen. Jangan segan-segan